Thursday, 1 April 2021

BBM3410-2021-MINGGU 2- NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK

Asas grafik merupakan perkara asas yang penting diketahui oleh pihak yang berminat dalam penggunaan kamera, video serta bahan yang mengandungi grafik. Grafik meliputi imej yang berbentuk paparan. Asas grafik pula terbahagi kepada lima elemen penting, iaitu mudah, warna, teks, kesesuaian dan keseimbangan. Setiap elemen ini pada kebiasaanya terkandung dalam foto, video dan bahan grafik lain. Pemilihan foto atau video yang mempunyai asas grafik adalah penting dalam setiap grafik yang yang dipaparkan. Sesuatu foto atau video perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua elemen dalam asas grafik.

        i.            Mudah

Mudah ialah penglihatan seseorang terhadap sesuatu gambaran yang mudah difahami dalam bentuk foto atau video. Mudah ialah mesej yang mudah disampaikan kepada audiens melalui foto atau video tanpa sebarang kekeliruan.

            Sebagai contoh, sebuah foto yang memaparkan sesuatu produk tanpa teks dan sebagainya untuk menerangkan produk tersebut. Antaranya, produk pakaian berjenama seperti Adidas, Nike dan sebagainya hanya memaparkan logo pakaian mereka dalam iklan.

            Sama juga dengan video iklan makanan yang selalu dilakukan oleh syarikat produk makanan francais seperti KFC. Produk makanan tersebut selalu diiklankan dalam video tentang resepi baru yang akan menarik minat audiens.

 

      ii.            Warna

Warna didefinisikan sebagai kombinasi warna atau satu warna dalam sesuatu gambaran dalam bentuk foto atau video. Grafik yang wajar tidak perlu mengandungi lebih daripada tiga warna kerana boleh menimbulkan kekeliruan. Namun begitu, penggunaan warna lebih daripada tiga bergantung juga kepada objektif atau mesej yang ingin disampaikan.

            Sebagai contoh, logo syarikat makanan seperti Mc Donald hanya menggunakan dua warna yang berbeza, iaitu kuning dan merah. Warna ini sudah tentunya mudah untuk diingati oleh audiens.

            Penggunaan warna yang terang seperti warna asas juga dapat menonjolkan sesebuah bangunan atau jenis iklan kerana mudah untuk difokuskan. Hal ini penting untuk diaplikasikan dalam pengiklanan, terutamanya papan iklan di kawasan yang menjadi tumpuan ramai.

    iii.            Teks

Teks pula merujuk kepada jenis dan saiz font yang dipilih dalam persembahan grafik. Kandungan teks diambil kira bagi tujuan pemahaman grafik. Font yang menarik juga dipengaruhi oleh penggunaan warna yang baik.

            Sebagai contoh, penggunaan teks yang jelas akan meningkatkan kadar kefokusan audiens semasa melihat iklan mereka. Teks yang jelas juga meningkatkan kefaham audiens tentang Sesuatu produk yang diiklankan.

            Penggunaan teks yang ringkas juga penting agar tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan mesej yang berat kepada audiens. Hal ini kerana iklan yang mempunyai teks atau mesej yang padat, kurang diambil perhatian oleh audiens.

 

    iv.            Kesesuaian

Kesesuaian dalam grafik ialah grafik yang bersesuaian dengan latar tempat, latar masa, latar watak yang terdapat dalam sesuatu foto atau video. Setiap watak atau bahan dalam grafik juga bersesuaian antara satu sama lain.

            Contohnya, foto suasana tenang yang memaparkan keindahan lautan dan ombak yang bergulung. Warna biru laut dan langit juga memberikan suasana yang tenang.

 

      v.            Keseimbangan

Keseimbangan dalam grafik merujuk kepada ruang dalam foto atau video. Ruang tersebut mestilah seimbang dari segi ruang kiri, kanan, atas, dan bawah. Keseimbangan dari segi ruang kosong dan berat dalam sesuatu ruang.

            Sebagai contoh, sesuatu iklan yang mengandungi foto dan teks akan disusun dengan seimbang. Sekiranya bahagian tepi iklan tersebut mengandungi foto, maka bahagian kanan iklan tersebut akan diseimbangkan dengan teks.

            Begitu juga foto alam seperti langit dan laut, bahagian ruang atas dan ruang bawah haruslah diseimbangkan untuk menghasilkan foto yang menarik.

 

Rujukan

Normaliza Abd Rahim (2019), Multimedia dalam Bahasa. Serdang: Penerbit UPM.




 

 

No comments:

Post a Comment