Wednesday, 7 April 2021

BBM3410-2021-MINGGU 3- CERITA SOSIAL 2


Normaliza Abd Rahim (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi. Kuala Nerus: Penerbit Universiti Malaysia Terengganu.

Cerita Sosial 2: Saya yang Istimewa

Cerita Sosial 2 ini mengisahkan kehidupan Alim dan ahli keluarganya. Kisah ini banyak memberikan pengajaran kepada para pembacanya agar sentiasa melakukan kebaikan dalam kehidupan seharian. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap perbuatan baik akan dibalas dengan kebaikan. Banyak manfaat sekiranya kita mengamalkan amalan berbuat baik terhadap semua makhluk ciptaan Tuhan di muka bumi ini. Selain memberikan kesenangan dalam kehidupan, amalan ini juga akan memberi kesan terhadap hati kita, iaitu sentiasa tenang untuk menghadapi segala cabaran dalam kehidupan.

            Cerita Sosial 2 ini bermula dengan kisah bapa Alim yang membeli banyak buah semasa pergi ke pasar tani pada ahad yang lalu. Bapa Alim membeli banyak buah kerana tahu akan kesukaan  anak-anaknya, iaitu Alim, abang Imran, Kak Madinah, dan Aisyah yang  amat menggemari buah-buahan. Bapa Alim membeli pelbagai jenis buah-buahan kesukaan anak-anaknya seperti buah langsat, buah rambutan, buah duku, buah durian, buah manggis, dan lain-lain.

Sejurus bapa Alim pulang ke rumah, anak-anaknya tidak sabar bertanyakan kepergiannnya ke pasar tani ahad pada pagi itu. Semuanya asyik bertanyakan soalan bertalu-talu apabila melihat bapa mereka membawa pulang banyak buah kesukaan mereka. Madinah melompat keriangan apabila melihat pulangan bapanya. Begitu juga Aisyah, anak bongsunya yang berlari mendapatkan bapanya sejurus melihat buah-buahan yang dibawa pulang ke rumah.

            Semasa mereka sekeluarga asyik makan buah-buahan, tiba-tiba Alim bertanyakan ibunya. Alim ingin mendapatkan persetujuan daripada ibunya untuk memberikan sedikit buah-buahan yang dibeli bapanya itu kepada jiran mereka, Sulaiman. Alim selalu teringat akan pesan ibu dan bapanya agar sentiasa berbuat kebaikan terhadap orang lain. Ibu dan bapanya juga berpesan kepadanya agar sentiasa berkongsi makanan dan barangan dengan orang lain. Oleh itu, Alim mengambil peluang ini untuk berkongsi buah-buahan dengan jirannya, Sulaiman.

            Sejurus itu, ibu Alim memberikan bungkusan plastik buah-buahan kepada Alim untuk diberikan kepada Sulaiman kerana melihat jirannya itu kelihatan sedang menyiram pokok di luar rumah. Sebaik menerima bungkusan daripada ibunya, Alim terus bergegas ke rumah jirannya itu untuk memberikan bungkusan plastik buah-buahan tersebut. Kelihatan Sulaiman masih berada di luar rumah. Alim terus memberikan plastik buah-buahan tersebut kepada Sulaiman. Sulaiman kelihatan gembira apabila menerima bungkusan plastik buah-buahan tersebut lalu mengucapkan terima kasih terhadap Alim.

            Kemudian, Alim mendapatkan keluarganya semula selepas memberikan bungkusan plastik buah-buahan tersebut kepada Sulaiman. Alim tersenyum puas kerana niatnya untuk berkongsi makanan dengan jirannya dapat dilaksanakan. Alim juga faham bahawa adik-beradiknya seperti abang Imran, Madinah, dan Aisyah akan berkongsi makanan dengannya juga.

            Setelah selesai makan, Alim membantu adik-beradiknya, iaitu abang Imran, kak Madinah, ibu dan bapanya mengemas rumah. Alim menolong keluarganya dengan membuang sampah kulit buah-buahan ke dalam tong sampah yang berada di luar rumah mereka. Semasa dalam perjalanan untuk membuang sampah, Alim terserempak dengan jirannya Mak Cik Timah, iaitu ibu Sulaiman yang sedang menyapu lantai di rumahnya. Mak Cik Timah mengucapkan terima kasih kerana Alim telah memberikannya buah-buahan.

            Alim membalasnya dengan berkongsi tentang pesan ibu bapanya dengan Mak Cik Timah bahawa dia melakukannya kerana berkongsi itu merupakan perbuatan yang baik. Alim turut menambah bahawa semua jirannya adalah orang yang baik-baik dan berpesan bahawa kita mesti berbuat baik sesama jiran. Mak Cik Tiah berasa terharu apabila mendengar kata-kata Alim dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan Alim sekeluarga sambil melihat Alim yang berjalan masuk ke rumahnya. 



        KEHADIRAN








            

No comments:

Post a Comment